Isnin, Jun 23, 2008

Adun DAP Johor angkuh terhadap Sultan

SAYA terpanggil untuk menyatakan kekesalan apabila membaca laporan akhbar mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor yang tidak mematuhi peraturan berpakaian ketika perasmian sidang Dewan Undangan Negeri Johor oleh Sultan Johor, baru-baru ini. Beliau memperlihatkan pendiriannya yang tidak beradab, beradat dan angkuh terhadap Sultan Johor.

Selepas 50 tahun merdeka, Adun DAP ini masih sombong bermain dengan isu yang sewajarnya tidak ditimbulkan lagi. DAP baru menang empat DUN dan satu Parlimen di Johor, tetapi keangkuhannya seperti sudah memerintah negeri itu. Sebagai Adun, beliau wajar menghormati Sultan Johor dan dewan yang mulia itu.

Saya berpendapat, tidak wajar beliau menidakkan tradisi dan protokol di dalam pentadbiran negeri apalagi yang membabitkan Sultan Johor. Walaupun dianggap kes terpencil, ia perlu dijadikan iktibar dan peringatan kepada semua Adun di negara ini. Hormatilah peraturan yang ditetapkan. Jika kita berada di China, maka hormatilah protokol dan peraturan negara itu. Jika kita berada di Malaysia di mana teras pemerintahannya Raja Berperlembagaan, maka kita mesti menghormatinya. Jika kita masuk ke rumah orang dan kena tanggalkan kasut, maka bukalah kasut untuk menghormati tuan rumah dan adat kesopanan.

Jangan kita menduga atau mencabar peraturan yang ada dengan kedegilan kita. Johor mempunyai sejarah kesultanan tersendiri. Amalan dan protokolnya menjadi sumber disiplin anggota dewan. Dewan Undangan Negeri disebut Dewan Yang Mulia. Maka, ia bukan pasar malam atau kaki lima di mana sesiapa saja boleh berpakaian mengikut cita rasanya sendiri.

Orang yang berprotokol dan berperaturan adalah orang yang bertamadun. Kita beraksi mengikut keperluan semasa, bukan 'sembrono' saja. Saya fikir Adun DAP perlu menerapkan falsafah Rukun Negara jika hendak menjadi wakil rakyat yang sejati di Johor. Fahamilah corak pemerintahan, unsur berbilang budaya dan agama di negeri kita.

Kita menjadi wakil rakyat bukan sekadar menolong rakyat di pasar atau di pusat perkhidmatan saja, sebagai pemimpin mereka akan berurusan dengan banyak pihak. Maka tutur kata dan tata kelakuan mestilah bersesuaian mengikut peraturannya. Tindakan tidak mahu berpakaian mengikut peraturan adalah sengaja 'mencari fasal' yang tidak wajar dilakukan.

Kita tidak mahu ada pihak mahu mencabar kemuliaan Raja-Raja Melayu yang menjadi simbol kedaulatan dan perpaduan rakyat. Berhati-hatilah kepada sesiapa saja yang tidak menghormati Raja-Raja Melayu. Kita tidak pasti apa agenda tersembunyi DAP. Mungkinkah mereka mahu tahu sama ada orang Melayu Johor 'terbuai' dengan janji Pakatan Rakyat yang akhirnya berpengaruh di sesuatu negeri kerana rakan dalam pakatan lemah dan tidak berkuasa.

Tindakan Adun Johor dilihat sebagai menguji terhadap rakyat Johor sama ada mendapat sambutan atau tidak. Tetapi Speaker Dewan Johor menghalau beliau dari Dewan Undangan Negeri, satu tindakan yang berani dan bijak. Kita pun ingin tahu apa pendirian dan komen pemimpin tertinggi DAP berhubung isu itu.

Inilah fenomena 'cacing naik ke mata' yang tidak boleh dibiarkan. Seperti kenyataan Menteri Besar Johor, rakyat kena menilai sama ada orang seperti ini layak duduk di Dewan Yang Mulia itu. Mereka mahu kehormatan dan kemuliaan kepada Sultan Johor terhakis dan kalau betul begitu, niat mereka perlu dihalang.

Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri supaya kita dapat hidup di bumi Malaysia dengan penuh harmoni dan saling hormat-menghormati.

Oleh : Dr Gunawan Mahmood

Tiada ulasan: