Rabu, Jun 25, 2008

Jangan Jadi Si Tanggang

SAYA amat tertarik dan terharu membaca titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menerusi muka depan akhbar Mingguan Malaysia siaran 22 Jun 2008.

Saya baca berulang-ulang kali, pada fikiran saya titah baginda sarat dengan nasihat yang paling berguna kepada bangsa Melayu.

Titah tersebut mencakupi pelbagai hal yang wajar diikuti orang-orang Melayu jika mereka mahu menjadi kuat. Sejak akhir-akhir ini ramai orang Melayu yang lupa diri di dalam banyak hal.
Tidak payahlah saya mengulangi kata-kata Raja Nazrin. Tetapi yang penting Melayu jangan jadi Si Tanggang, baru jadi nakhoda sudah lupa ibunya yang terperuk di hulu kampung.

Contohnya mereka melupakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi ruang dan peluang kepada mereka bangun daripada kancah lingkaran ganas kemiskinan.

Dulu hidup mereka ‘haprak’ (meminjam bahasa Dr. Mahathir Mohamad) tetapi setelah berjaya menongkat menara ganding dan memegang jawatan tinggi, DEB dikatakan tidak berguna dan mesti dihapuskan.

Malah mereka bersatu dengan orang yang menganut falsafah ‘Malaysian Malaysia’ untuk menguburkan DEB. Inilah yang pernah Dr. Mahathir sebut, orang Melayu yang mudah lupa.
Ada yang bongkak walaupun kejayaan belum setinggi mana, hidung lebih tinggi daripada pucuk kelapa.

Mereka berkata, kejayaan mereka atas usaha sendiri bukan pertolongan daripada kerajaan. Sedangkan kerajaan telah menyediakan ruang, peluang dan suasana yang baik untuk mereka meningkat maju.

Fenomena kesombongan ini dapat kita lihat kepada golongan usia pertengahan Melayu yang menidakkan jasa-jasa kerajaan malah sanggup bersekongkol menjatuhkan kerajaan yang paling berjasa kepada rakyat.

Titah baginda juga menyebut, jangan mudah bermusuh dengan kawan dan jangan mudah berbaik dengan lawan.

Ini dapat kita lihat apabila Parti Islam Se-Malaysia (Pas) yang sanggup berdakap dengan DAP walaupun pemimpin DAP sampai bila pun tidak akan menerima konsep negara Islam.
Tetapi kerana seronok mendapat jawatan-jawatan penting, prinsip Pas sudah menjadi debu yang berterbangan ditiup angin.

Titah Raja Muda Perak amat berkesan di hati. Semoga ia dapat memberi peringatan kepada kita semua agar jangan lekas lupa diri, sombong dan bongkak terutama kepada anak bangsa sendiri.
Kalau diberi amanah memerintah, maka berhati-hatilah. Jangan membuang bangsa sendiri.

Oleh : Dr. Gunawan Mahmood

Tiada ulasan: