Isnin, Jun 16, 2008

Jangan Korban Identiti UMNO

KRISIS keyakinan diri melanda parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) berikutan kekalahan besar dalam pilihan raya lalu. Formula "Berlainan Parti Satu Identiti" yang meyakinan rakyat terhadap BN sebagai parti pelbagai kaum selama ini seolah-olah sudah tidak terpakai lagi. Ada parti komponen yang telah menyuarakan untuk menjadi parti pelbagai kaum dan bukan hanya bagi satu kaum sahaja.

Yayasan Strategik Sosial di bawah MIC dan ahli-ahli akademik bukan Melayu juga mendesak UMNO melakukan reformasi supaya menjadi parti semua kaum dan tidak lagi bercakap bagi pihak Melayu sahaja. Dengan adanya pemimpin tertinggi MCA mengisytiharkan MCA perlu menjadi parti pelbagai kaum maka memberikan implikasi seolah-olah hanya UMNO akan bertahan sebagai parti yang bersifat perkauman.

UMNO sendiri tentunya merasa tercabar dengan perubahan sikap dan pemikiran rakan-rakan komponennya, di samping kecairan identiti parti-parti pembangkang yang tiba-tiba terpaksa berkerjasama dalam pembentukan kerajaan campuran negeri-negeri setelah kemenangan di luar jangkaan.

Dalam sekelip mata apabila menang besar di luar jangkaan telah mendorongkan parti-parti pembangkang yang dianggap melampau berubah sikap kepada menerima konsep rasional dan moderate demi pembentukan kerajaan dan juga mengekalkan kuasa politik.

Pas terpaksa mengorbankan identitinya sekalipun tidak mengisytiharkan ia bukan lagi parti Islam dan DAP juga terpaksa menerima kepimpinan Melayu dan Islam sekalipun memiliki kerusi lebih besar daripada Pas. Mereka terpaksa menerima hakikat penghormatan kepada sistem pemerintahan demokrasi Raja Berperlembagaan.

Pandangan bukan Melayu terhadap langkah Pas berundur daripada dasarnya yang keras dan melampau jelas terasa dan dapat dilihat. Umpamanya Dr. Thock Ker Pong, Pensyarah Jabatan Pengajian Tionghua, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dalam temu ramah dengan Mingguan Malaysa (18 Mei 2008) berkata: "Pas sebenarnya sudah berubah. Kalau dulu mereka begitu memperjuangkan negara Islam tetapi kali ini mereka berubah kepada negara kebajikan dengan tujuan untuk menarik pengundi bukan Melayu."

Beliau yakin Pas tidak akan kembali kepada perjuangan negara Islamnya.

Penerimaan DAP terhadap peminpin Pas sebagai Menteri Besar di Perak tentulah juga tidak pernah terfikir oleh penyokong-penyokong DAP. Malah pemimpin DAP sanggup memakai songkok demi perpaduan dan kuasa dalam pakatan. Tentulah penyokong-penyokong agar umbi DAP tertanya-tanya apakah beza DAP dengan MCA dan Gerakan.

Di sebalik identiti ini, adalah tidak mungkin untuk Pas dan DAP dapat terus berkuasa sekiranya mereka tidak memperjuangkan dasar 'perkauman dan keagamaan' yang melampau yang menjadi identiti mereka selama ini.

Imej ini tetap perlu ada sekurang-kurangnya kepada pengikut -pengikut mereka dengan secara terbuka atau tertutup. Mereka tidak sukar untuk menyembunyikan penyelewengan identiti kepada penyokong-penyokong fanatik mereka.

Umpamanya, Menteri Besar Kelantan Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat cuba melindungi hakikat sebenarnya yang sedang berlaku dengan berkata: "Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO selagi UMNO tidak menerima Islam sebagai prinsip perjuangannya." Sedangkan hakikatnya Pas telah terlihat menyeleweng daripada dasarnya yang keras.

Namun Nik Aziz sebagai mursyidul dan tokoh Pas yang dihormati akan terus menjeritkan Pas tetap memperjuangkan negara Islam sekalipun itu diketahui sebagai retorik sahaja. Di Kedah, menteri besarnya telah pun mengumumkan tidak akan melaksanakan hudud.

Mereka yang tidak dapat membaca yang tersirat di sebalik yang tersurat tentunya merasa tercabar dengan suasana baru politik tanah air dan menyangka semua nilai telah berubah.
Keyakinan BN tercabar, seolah-olah kemenangan besar pembangkang adalah kerana perjuangan yang bersifat pelbagai kaum, tidak bersifat perkauman.

MCA tidak dapat lagi melihat sudut-sudut kekuatan BN dan keruntuhan moral parti-parti pembangkang selepas kekalahan teruk parti itu dalam pilihan raya lalu, sebaliknya berasa mahu menyalin identiti DAP.

Sebenarnya kemenangan besar pembangkang atas isu-isu perkauman dan keagamaan yang sempit dan berbahaya tetapi telah dilindungi oleh imej yang lebih besar atas isu semasa dalam soal kenaikan harga barang, harga minyak, rasuah dan jenayah yang dalam beberapa hal memang tidak dapat dikawal oleh kerajaan.

Kemenangan pembangkang bukanlah atas satu dasar yang mantap atau suatu identiti yang kukuh kerana eksperimen (uji kaji) mereka belum pernah teruji dengan cabaran politik dan sosial dalaman atau luaran.

Umpamanya apakah DAP yang telah mengenali 'kelicinan politik Anwar Ibrahim' mempunyai keyakinan penuh untuk menerimanya sebagai perdana menteri? Apakah Lim Kit Siang benar-benar yakin bahawa Anwar yang lama dikenalinya akan mengorbankan prinsip politik Melayu dan Islamnya?

Keadaan ini jauh berbeza dengan penerimaan pemimpin UMNO, Al-Marhum Tunku Abdul Rahman oleh MCA dan MIC sebagai pemimpin Perikatan kerana dengan penuh kepercayaan Tunku akan mengamalkan dasar politik masyarakat majmuk sebagai asas perjuangan kemerdekaan dan pembentukan kerajaan.

Tunku tidak mempunyai latar belakang perjuangan yang bersifat ideologi agama atau perkauman, sebaliknya sejarah dirinya adalah pejuang dasar kemanusiaan sejak menjadi pegawai kerajaan lagi.

Tunku sanggup menjadi tidak popular kepada kaumnya sendiri kerana mempertahankan prinsip keadilan kepada semua kaum.

Anwar Ibrahim telah menggunakan kepakaran dan kelicinan politiknya untuk menubuhkan pangkalan politik (political base) di kalangan bukan Melayu berasaskan sentimen perkauman dan agama (isu Hindraf dan ketidakadilan Dasar Ekonomi Baru) dan isu-isu sensitif kepada Melayu dan Islam.

Dengan kejayaan menubuhkan pangkalan ini, beliau sekarang berharap menjadikannya sebagai tawaran untuk mendapatkan semula sokongan orang Melayu yang selama ini menyokong UMNO dan juga daripada pemimpin-pemimpin UMNO sendiri tetapi malangnya beberapa orang kepercayaannya telah mendahuluinya mendapat semula kepercayaan UMNO.

Adalah jelas kemenangan kepada pembangkang dalam pilihan raya lalu adalah puncak kejayaan eksploitasi media terhadap isu-isu perkauman dan keagamaan yang dibangkitkan dan digemparkan oleh parti-parti pembangkang dengan berselindung di bawah dasar keterbukaan dan ketelusan kerajaan.

Rakyat yang belum biasa dengan suasana ini mudah termakan dan terpengaruh terutama kerana tekanan masalah ekonomi dan sosial.

Oleh itu, pemulihan kekuatan BN tidak seharusnya dibina dengan komponen parti mengorbankan identiti masing-masing. Tiap-tiap parti komponen BN mempunyai identitinya sendiri, sama ada yang bertunjang di Semenanjung Malaysia atau di Sabah dan Sarawak. Tiap-tiap parti adalah mewakili kaumnya sendiri tetapi berada dalam barisan yang telah sekian lama dikenali bersifat pelbagai kaum.

BN didaftarkan sebagai sebuah parti komponen untuk menghadapi rakyat dan bukan tegak di atas dasar rapuh yang berasaskan kepada 'Kahwin Terpaksa' atau keperluan seketika atau semasa. BN adalah bagi sepanjang zaman.

Jika ada parti komponen BN yang terlihat menekankan atau mempromosi sentimen kaumnya, sejarah telah membuktikan kepimpinan parti akan bertindak ke arah mencegah dan membetulkan keadaan dan memberikan keutamaan kepada prinsip-prinsip kerjasama yang boleh mengeratkan lagi BN.

Maka itu, setiap parti komponen tetap terkawal dan terbatas dalam suara dan tindakan memperjuangkan isu-isu kepentingan kaum masing masing.

Bagaimanapun adalah dikesalkan kerana dasar keterbukaan dan kebebasan kerajaan telah mendorongkan ke arah pemikiran dalam parti-parti komponen untuk mencari populariti atas isu-isu sensitif yang dimainkan oleh parti-parti pembangkang.

Umpamanya MCA mahu menjadi parti pelbagai kaum tetapi isu-isu yang disuarakannya untuk bersaing dengan parti pembangkang telah menimbulkan kesangsian di kalangan orang Melayu. MCA dilihat seolah-olah mahu berpisah daripada dasar asalnya dan mahu menyuarakan apa yang disuarakan oleh DAP.

Menjadi parti yang mewakili pelbagai kaum tidak seharusnya terlihat daripada retorik tetapi daripada amalan yang diterima oleh semua kaum.

Tidak boleh mana-mana parti dalam BN menjadi seperti DAP yang mendakwa sebagai parti pelbagai kaum tetapi tidak dapat diterima oleh orang Melayu malah dilihat sebagai parti perkauman Cina.


Parti komponen yang merasa perlu untuk menukar identitinya, dengan sendiri menampakkan kehilangan keyakinan kepada dasar-dasar yang telah teruji yang baru hendak dicuba oleh parti-parti pembangkang.

Persaingan dengan parti pembangkang dengan menggunakan isu-isu perkauman tidak memberikan kemenangan kepada BN sebaliknya telah terbukti menyebabkan kekalahan yang teruk.

Penyertaan dua anggota penting Gerakan ke dalam kerajaan DAP Pulau Pinang dan Selangor telah menyebabkan orang UMNO tersandar pada kenyataan bahawa rupanya selama ini ada musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan yang tidak yakin kepada diri sendiri tetapi lebih yakin kepada dasar DAP.

Kepimpinan BN semestinya terus menunjukkan keyakinan mereka yang kuat terhadap dasar pelbagai kaum dan keadilan bagi semua kaum yang diasaskan oleh Perikatan dan diperluaskan oleh BN.

Kemenangan pembangkang atas undi protes adalah kemenangan yang rapuh yang tidak berasaskan kepada keyakinan teguh rakyat dan tidak akan membantu memperteguhkan kerajaan-kerajaan negeri yang ditegakkan oleh mereka. Ini kerana akan terbukti kelak yang dapat memenuhi tuntutan protes mereka adalah kerajaan BN.

Apa yang harus disedari oleh parti-parti komponen dan juga ahlinya dan penyokong-penyokong BN dan seluruh rakyat ialah parti-parti pembangkang yang telah mengambil alih kuasa beberapa buah negeri sedang belajar membuat penyesuaian dengan nilai-nilai dan amalan kerajaan pelbagai kaum yang telah dipelopori, dipupuk dan diamalkan sekian lama oleh BN.
Adalah sesuatu yang diluar jangkaan dan imaginasi bahawa akan berlaku di Malaysia parti cauvinis Cina akan menubuhkan kerajaan dengan sebuah parti Islam ortodoks dan sanggup menerima kepimpinan parti Islam itu.

Mereka sedang berada dalam kegelisahan yang tersembunyi dan sedang belajar untuk membuat penyesuaian antara satu sama lain dan cuba memahami 'do and don't' dalam pentadbiran masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Dalam beberapa hal, kita telah pun melihat mereka terpaksa mundur daripada dasar mereka yang mengecewakan dan menimbulkan kemarahan di kalangan parti dan penyokong mereka.
UMNO mesti terus menunjukkan keyakinan dan mengekalkan identitinya sebagai sebuah parti Melayu yang berpegang teguh kepada dasar pelbagai kaum dengan kesanggupan bertolak ansur, berkompromi dan bertoleransi dalam keadaan apa pun demi keadilan bagi semua kaum di Malaysia.

Tidak dinafikan bahawa kekalahan pilihan raya lalu telah mendorongkan pandangan dan desakan yang bersifat perkauman dalam parti UMNO.

Tekanan yang sama dihadapi oleh UMNO selepas pilihan raya 1969 sehingga ada suara dari dalam UMNO sendiri meminta supaya anggota MCA dan MIC disingkirkan daripada kabinet Perikatan kerana kekalahan mereka yang teruk.

Tetapi apa yang dilakukan oleh UMNO ialah menyingkirkan orang yang menyuarakan desakan ini dan mengekalkan keanggotaan kedua-dua parti itu dalam kabinet.

Sekalipun cabaran yang dihadapi oleh UMNO sekarang amat berat tetapi tidak semestinya akan mengorbankan prinsip dan identitinya sebagai sebuah parti Melayu. Ini kerana sejarah telah membuktikan identiti ini tidak pernah mendorong pemimpin-pemimpin UMNO yang silih berganti untuk mengamalkan politik perkauman yang sempit sebaliknya pemimpin-pemimpin UMNO yang cuba menjalankan dasar seumpama ini telah tenggelam atau tersingkir daripada UMNO. Mereka tidak pernah berjaya berada dalam arus perdana negara.

Ini adalah kerana pemimpin-pemimpin UMNO dari dulu hingga sekarang terus menerus membangunkan nilai dan visi masyarakat majmuk di kalangan ahli UMNO dengan penekanan kepada sikap kompromi, rasional dan toleransi.

Amat mudah bagi kepimpinan UMNO untuk memulihkan keyakinan orang Melayu dengan tunduk kepada beberapa tuntutan orang Melayu yang merasa telah dikhianati dalam pilihan raya lalu tetapi membalas dendam bukan sikap UMNO dan bukan sikap kepimpinan Melayu dalam BN, malah apa yang dilakukan adalah meneruskan tindakan-tindakan yang bersifat akomodatif terhadap tuntutan bukan Melayu.

Ini menunjukkan UMNO mempunyai keyakinan diri yang tinggi terhadap dasar BN berbanding dengan parti komponen lain yang ternyata dengan kenyataan dan tindakan mereka selepas pilihan raya menunjukkan 'iman' mereka mudah bergoncang.

Sikap serupa ini jika diteruskan oleh mereka akan melenyapkan identiti BN dan tidak akan membantu mengembalikan rakyat kepada Barisan Nasional.

Oleh : Zainuddin Maidin

Tiada ulasan: